Make your own free website on Tripod.com

MAMOANGEL VERSION 3

Home | MyIbans JukeBox | Temuai | My News | School Website | My Galeri | Sapa Sidak! | Unitem News Load | Infoline

My Galery

Kisah pahit manis pelajar oum menempuh ilmu....serta harapan...                                                                                                                                                                                   

Impian Arwah Abahku Tercapai Jua
oleh
Zuriani Zainal

 



Apabila aku terkenangkan arwah abahku, air mataku selalu mengalir tanpa diundang. Aku menamatkan SPM pada tahun 1997. Selepas itu aku melanjutkan pelajaran di Kolej Negeri di Negeri Sembilan di dalam bidang komputer. Selepas sebulan aku berada di sana, aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang di dalam bidang TESL. Malangnya aku tidak berminat untuk menjadi seorang guru.

Abahku tidak pernah memaksaku dalam segala hal sebelum ini. Akan tetapi, untuk memasuki maktab ini aku dipaksa. Aku menurut sahaja kehendak abahku yang turut disokong oleh emakku.

Pada hari aku mendaftar, abahku berpesan padaku agar belajar bersungguh-sungguh. Aku akur dan aku telah membuktikan padanya selama empat semester berturut-turut aku mendapat anugerah cemerlang di dalam tugasan di maktab. Setiap kali aku pulang ke rumah, aku akan menunjukkan sijil anugerah itu kepadanya. Ternyata abahku sangat gembira.

Abahku banyak membantuku di dalam tugasanku dengan membantu mencari bahan untukku daripada Perpustakaan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada akhir semester 5, aku terlibat sebagai salah seorang pegawai SUKMA ke-8 yang diadakan di Pulau Pinang. Sebelum aku pulang ke maktab aku berkata kepada abahku, "Abah mesti datang bila konvokesyen nanti tau". Abahku menjawab "Entah, tengoklah dulu, kalau tak mak saja nanti pergi". Tatkala itu aku tidak merasakan apa-apa tetapi pelik sedikit kerana selalunya abah yang bersemangat sangat nak tengok aku pakai jubah konvokesyen. Katanya, "Nanti konvo pakai jubah, bila dah sah jawatan nanti boleh masuk universiti. Masa tu boleh pakai topi. Teringin nak tengok anak abah ni dapat ijazah". Aku menjawab bersahaja, "Gerenti boleh punyalah bah".

Pada 16hb Jun 2001, aku mendapat sms daripada abang iparku menyatakan abahku dimasukkan ke dalam wad di Pantai Medical Centre. Aku terus membeli tiket dan pulang ke Kuala Lumpur. Di
hospital, abahku kelihatan tenat kerana beliau mengidap penyakit radang hati. Aku menyuapkannya bubur nasi. Emakku kata abahku tidak mahu makan langsung. Tetapi bubur yang kusuap habis dimakannya. Aku sangat gembira. Keesokannya, abahku tidak sedarkan diri dan doktor berkata bahawa abahku tiada harapan lagi. Jadi, kami sekeluarga sepakat untuk membawa abahku pulang ke rumah kami di Kuala Pilah.

Setelah dua malam di rumah kami, abahku menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21hb Jun 2001 jam 3.10 pagi dipangkuanku. Aku tak dapat menerima kenyataan bahawa abahku telah tiada. Barulah aku sedar bahawa apa yang telah abahku katakan tentang konvokesyen tadi adalah bunga-bunga sebelum beliau pergi meninggalkan aku. Aku seakan tidak percaya kerana sebelum ini abahku sihat. Tidakku duga penyakit itu menyerangnya secara tiba-tiba. Akan tetapi aku redha dengan kehendak Tuhan.

Emakku banyak memberikan semangat padaku. Emakku juga amat terasa kehilangannya. Setiap minggu aku balik ke rumah untuk bersama-sama emakku yang tinggal dengan kakakku di Kuala Lumpur. Pelbagai dugaan yang harus aku lalui sepanjang ketiadaan abahku. Aku tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan kerana emakku tiada teman di rumah. Aku ketepikan dahulu impian itu.

Namun begitu, kini aku telah menjejakkan kaki ke Universiti Terbuka Malaysia dan InsyaAllah akan kupenuhi impian abah yang ingin melihatku menggenggam segulung ijazah. Walaupun beliau telah lama tiada namun semangatnya masih bersamaku. Walaupun aku kini seorang pelajar tetapi aku masih mempunyai masa untuk bersama emak dan keluarga kerana tutorial hanya ada pada hujung minggu sahaja. Emakku menyokong penuh untuk aku melanjutkan pelajaran di OUM.

Aku juga bersyukur kerana telah dikurniakan seorang suami yang amat memahami diriku dan sanggup berkorban untukku. Suamiku juga amat rapat dengan emakku. Aku bahagia bersama suami dan emakku lebih-lebih lagi dengan kehadiran anakku yang comel bernama Insyirah.

Abah..... impianmu telah dipenuhi dan Insyaallah anakmu ini akan berjaya. Tiada apa yang dapat diberikan melainkan amalan dan Al-Fatihah untuk abah.

Emak..... terima kasih di atas sokonganmu. Tanpa emak disisi punahlah segala semangat di dalam diri ini. Akanku jaga emak sehingga ke akhir hayat.

Abang....terima kasih di atas dorongan dan sokonganmu. Terima kasih juga kerana memahami keadaan keluargaku. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Semoga ikatan ini kekal ke akhir hayat.

Insyirah.... adik adalah pengubat hati mama. Adik memberi sinar baru dalam hidup mama untuk meneruskan perjuangan ini. Mama akan teruskan impian atuk adik. Ketahuilah bahawa atuk adik adalah seorang yang baik dan tulus walaupun adik tidak berkesempatan untuk bertemu dengan atuk....


 

give advantages

GeMpAK JakO