Make your own free website on Tripod.com

MAMOANGEL VERSION 3

Home | MyIbans JukeBox | Temuai | My News | School Website | My Galeri | Sapa Sidak! | Unitem News Load | Infoline

UNITEM

Lawatan YBhg Tan Sri Presiden ke Pusat Pembelajaran Wilayah Sarawak



Lawatan YBhg. Presiden Prof. Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali dan Puan Sri Eveline Anwar ke Pusat Pembelajaran Wilayah Sarawak (PWS) di Kuching baru-baru ini menyingkap satu lagi detik bersejarah buat semua warga kerja dan pelajar di negeri Sarawak.

Lawatan selama tiga hari bermula dari 11hb hingga 13hb Februari, 2005 turut disertai oleh Profesor Dr Mansor bin Fadzil, Naib Presiden (Teknologi) yang telah memberi nafas baru dalam proses pengurusan pembelajaran. Pendekatan peribadi beliau disifatkan oleh banyak pihak sebagai arah untuk merangsang motivasi pelajar demi pencapaian pendidikan yang lebih cemerlang.



Sentuhan Presiden... YBhg. Presiden Prof. Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali ketika menyampaikan ucapan sempena program dialog bersama pelajar.




Tujuan lawatan YBhg. Prof. Tan Sri Presiden ke PWS adalah untuk melihat sendiri keadaan di Pusat Pembelajaran yang menempatkan 1,140 orang pelajar. Pada masa yang sama, lawatan YBhg. Prof. Tan Sri Presiden adalah untuk bertemu dan beramah-mesra dengan para pelajar, sambil mendekati permasalahan yang timbul.

Lawatan ini juga membolehkan YBhg. Prof. Tan Sri Presiden menyaksikan sendiri keadaan di Pusat pembelajaran Wilayah Sarawak. Pada masa sekarang PWS mempunyai tiga Pusat pembelajaran (PPU) iaitu Kuching (juga sebagai PW), Sibu dan Miri (PPU).

Di antara program yang dimuatkan di dalam sesi lawatan YBhg. Prof. Tan Sri Presiden adalah

  • Seminar mengenai ODL : Our Future Begins Here

  • Seminar Kecemerlangan : How To Excel in OUM

  • Sesi dialog dan soal jawab bersama YBhg. Presiden Prof. Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali

  • Kaunseling Menjana Kendiri



Profesor Madya Dr. Latifah ketika menyampaikan ceramahnya dalam sesi seminar mengenai ODL : Our Future Begins Here.




Seminar mengenai ODL dikendalikan oleh Prof Madya Dr Latifah selaku Pengarah Hal Ehwal Pelajar. Di dalam seminar ini, beliau telah menyentuh tentang prospek masa depan melalui format pendidikan terkini yang dikendalikan sekarang. Open Distance Learning (ODL) merupakan satu-satunya kaedah pembelajaran terbuka jarak jauh terbaru dengan idea pelaksanaan yang bermula di OUM.

Ia juga merupakan satu lagi model kejayaan universiti ke arah pembinaan interaktif pemikiran era moden dalam lanskap pendidikan tinggi negara. Eksploitasi kepakaran, pengetahuan dan pengalaman diadunkan secara serentak dengan teori ilmiah. Ini membolehkan pembelajaran dapat diikuti oleh semua pelajar tanpa sempadan had masa, kelas sosial dan keturunan.

Majlis seterusnya diikuti pula dengan Seminar Kecemerlangan. Seminar ini adalah lanjutan ke arah ransangan bagaimana untuk meningkatkan keunggulan akademik.



Gaya seorang intelek... Profesor Dr. Mansor Fadzil ketika sedang menjawab beberapa soalan daripada para pelajar.




Majlis ini dikendalikan oleh Profesor Dr Mansor bin Fadzil, Naib Presiden (Teknologi). Di dalam ucapannya, beliau menasihatkan para pelajar agar sentiasa prihatin dengan pencapaian mereka. Bagi tujuan ini, beliau merumuskan pelbagai formula khusus termasuklah perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan kawalan sebagai proses utama yang boleh membantu pelajar mencapai kecemerlangan.

Sempena lawatan YBhg. Prof. Tan Sri Presiden ke Sarawak, majlis bersama YBhg. Prof. Tan Sri Presiden turut diadakan. Di dalam majlis yang ditunggu-tunggu ini, para pelajar mengambil peluang mengemukakan beberapa pertanyaan yang berkaitan dengan perjalanan sistem pengurusan pembelajaran.



Sebahagian daripada AJK yang terlibat dalam program sesi dialog bersama YBhg. Presiden.




Ini termasuklah modul, pemarkahan, sukatan pelajaran dan lain-lain lagi. Paling menarik adalah mengenai hala tuju kualiti OUM yang boleh menepati kehendak pasaran kerja, pengikhtirafan di dalam sektor perkhidmatan awam selain perencanaan yang akan datang.

Hasil interaksi yang positif daripada kedua-dua pihak jelas menunjukkan sikap kematangan dan terbuka, sekaligus menjadikan majlis ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.



Pengerusi pengelola, Encik Len Bubat menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat, YBhg. Presiden Prof. Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali.




Pada hari terakhir, program kaunseling telah diadakan dan sesi kaunseling ini telah dikendalikan oleh Profesor Madya Dr Zainal A. Ahmad. Beliau antara lain menyentuh tentang kepentingan pengurusan masa. Selain itu, beliau telah memberi beberapa ’tip’ untuk menghadapi peperiksaaan dan kaedah menjawab soalan dan juga tugasan.

Sesi ini bertujuan untuk memberi rangsangan kepada para pelajar agar berasa yakin dan berupaya mempertingkatkan diri. Daripada tindakbalas aktif, sesi ini telah memberi banyak manfaat kepada pelajar yang hadir ke sesi kaunseling tersebut.

Penglibatan para pelajar khususnya melalui Kelab Mahasiswa/wi dalam lawatan YBhg. Prof. Tan Sri Presiden telah melengkapkan ruang tanggungjawab semua pihak dalam mengaturkan program lawatan. Secara keseluruhannya, pendekatan YBhg. Prof. Tan Sri Presiden serta tetamu kehormat yang mengikuti program lawatan ke Sarawak kali ini sangat istimewa dan akan tetap segar dalam ingatan.

GeMpAK JakO